Webinar ini merupakan salah satu pengisian bersempena Program World Industrial Design Day 2021 dengan kerjasama di antara Persatuan Pereka Perindustrian (PEREKA), Malaysia bersama Program Reka bentuk dan Pembuatan Perabot (BPP), Jabatan Pengurusan Pengeluaran dan Operasi (JPPO), Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Telah dijalankan pada 4 Julai 2021 dan disiarkan secara live di pautan Zoom dan Facebook Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan dan telah mendapat capaian lebih daripada 2000 orang penonton yang terdiri daripada ahli akademik, staf dan pelajar-pelajar dari Institut Pengajian Tinggi  Awam(IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi  Swasta (IPTS) seluruh Malaysia seperti Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), German-Malaysian Institute (GMI), serta lain-lain organisasi seperti Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Politeknik serta Kolej Komuniti.


Program ini telah menemubual dua orang panel jemputan iaitu Prof. Dr. Mohamad Hariri bin Abdullah yang merupakan Professor di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM)Shah Alam merangkap Presiden PEREKA, dan Tuan Hj Mahpar bin Atan yang merupakan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan & Komersial), Lembaga PerindustrianKayu Malaysia (MTIB). Kedua-dua panel tersebut mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang masing-masing. Program ini berjalan selama 1 jam 30 minit di mana kedua-dua panel telah ditemubual dengan beberapa soalan yang berkisar tentang cabaran dalam mencari titik kesefahaman menuju kesepakatan di antara pihak akademik danpihak industri, bagaimana pihak industri mampu membantu pihak universiti untuk meningkatkan kemahiran pelajar untuk kesediaan di alam pekerjaan sebenar, kepentingan program reka bentuk dan pembuatan, kualiti graduan yang dikehendaki oleh industri, kesediaan industri mengaplikasi IR 4.0 dan banyak lagi.

Menurut Prof. Dr. Mohamad Hariribin Abdullah, kewujudan IR 4.0, digitalization dan pandemik menyebabkan perlunya kolaborasi antara akademik dan industri. Beliau juga menekankan terdapat empat cabaran utama antara akademik dan industri adalah perbezaan dari segi pengurusan, fokus, aktiviti dan kewangan. Selain itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan & Komersial), MTIB, Tuan Hj Mahpar bin Atan memaklumkan bahawa 48% daripada jumlah eksport sektor perkayuan negara adalah dari sektor perabot (produk nilai tambah tinggi). Beliau menekankan bahawa pada tahun 2030 mensasarkan 70% daripada eksport perabot adalah dari kategori Original Design Manufacturing (ODM) atau Own Brand Manufacturing (OBM) kerana pada masa ini, kebanyakan perabot yang dihasilkan adalah dari kategori Original Equipment Manufacturing (OEM). Oleh yang demikian, hubungan akademik dan industri harus diperkemaskan bagi merealisasikan impian ini.

Majoriti maklum balas yang diterima daripada peserta program menyatakan bahawa program seperti ini perlu dijalankan dengan lebih giat pada masa akan datang. Terdapat juga cadangan daripada peserta agar melibatkan ahli panel yang lebih ramai dari kalangan ahli akademik, industri, pengamal reka bentuk dan juga pihak kerajaan dalam program yang akan datang.

No items found.